Mutiara Kata

Wednesday, March 22, 2017

QADHA' PUASA ATAU FIDYAH?

(Dari laman wab JAWI)

Ramadhan semakin hampir. Qadha' puasa tahun lepas belum tertunai? Menjelang Ramadhan 2017, maka akan dikenakan Fidyah bersama dgn Qadha' puasa juga.

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (Qadha’) bulan Ramadhan yg lalu.

Hasil bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Fidyah dan Kaffarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan. 

HUKUM FIDYAH

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH DI MAIWP

Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Bangunan Daruzzakah secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.

SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH

1. Uzur menunaikan puasa wajib:

Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Termasuk juga golongan warga emas yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali, sakit berterusan atau yg tidak larat kerana usia.

2. Perempuan hamil:

Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. 

3. Ibu yang menyusukan anak:

Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah. 

4. Qadha' puasa bagi orang yang meninggal dunia:

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat. 

5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’):

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan. Bilangan Qadha' tidak bertambah, cuma fidyah sahaja yg bertambah.

6. TAKSIRAN FIDYAH:

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH

7. KADAR BAYARAN FIDYAH:

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Di Wilayah Persekutuan,  kadar fidyah dalam bentuk nilaian beras semasa adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2012, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.75.

Contoh
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM15.75.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails