Mutiara Kata

Wednesday, December 07, 2016

Pasukan F Jasamu Dikenang

KUALA LUMPUR: Kewujudan Pasukan F Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pernah menjadi 'senjata sulit' negara menangani pemberontakan komunis didedahkan malam tadi, dalam usaha menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata ramai tidak tahu kewujudan pasukan F yang berstatus pasukan elit, lantaran segala operasi melumpuhkan aktiviti komunis dilakukan dengan cara yang amat sulit.

"Setelah hampir 21 tahun pasukan ini dibubarkan pada 1995, baru sekarang kita mendedahkan kewujudan pasukan itu yang menyumbang jasa amat besar kepada keamanan negara yang kita kecapi sekarang.

"Sudah sampai masanya kita mendendangkan jasa dan pengorbanan mereka kepada masyarakat dan kerajaan supaya semua anggota pasukan itu atau warisnya mendapat penghargaan yang sewajarnya," katanya pada sidang media, tengah malam tadi.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Makan Malam Pasukan F Jasamu Dikenang di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di Jalan Semarak di sini.

Yang turut hadir, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor; Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Puzi Harun dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1(M) Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin.

Menurut Noor Rashid, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk mewujudkan insentif khas berbentuk bantuan kewangan, penjagaan kebajikan dan penganugerahan pingat penghargaan kepada 161 pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang pernah berkhidmat dalam pasukan F sejak ditubuhkan pada 1971.

"Jasa mereka perlu didedahkan supaya ia boleh dikenang dan diabadikan dalam lipatan sejarah negara serta dijadikan contoh oleh masyarakat.

"Kebanyakan mereka sudah bersara dan ada yang meninggal dunia dan ramai juga yang uzur. Sebahagian mereka pula berkhidmat secara kontrak dalam pasukan F dan tiada pencen, justeru perlu ada satu inisiatif daripada segi kebajikan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Pasukan F adalah pasukan elit yang terhebat kerana mereka bukan saja handal melakukan risikan malah objektif utama pasukan ini adalah menangkap anggota komunis bagi tujuan pengumpulan maklumat.

"Mereka juga melaksanakan gerakan helah untuk mengelirukan musuh dalam usaha memecah belahkan pengganas komunis, melakukan serang hendap dan tangkapan sulit, menjejak kem-kem komunis serta mensabotaj bekalan makanan, kelengkapan logistik dan senjata.

"Dengan moto 'Hanya Yang Berani', pasukan ini menjalankan tanggungjawab mereka dengan amat cemerlang apabila berjaya menangkap ratusan anggota komunis sehingga mereka akhirnya bersetuju mengadakan rundingan sebelum menyerah kalah," katanya yang pernah mengetuai Cawangan Khas pada 1986 sehingga 1989.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails