Mutiara Kata

Tuesday, July 05, 2016

Kemalangan Jalanraya

Coratan peguam

Bila membaca kisah kemalangan membabitkan kematian di surat khabar terasa ngeri dan sentiasa kita berdoa agar kita semua dijauhkan dari kejadian sebegini.

Pada musim perayaan ini banyak kenderaan berada di jalan raya menuju satu destinasi iaitu balik kampung.

Ada yang memandu mematuhi arahan dan had laju dan tidak kurang juga yang menjadikan jalan raya seperti litar lumba dan engkar peraturan yang sedia ada.

Sikap bertimbang rasa yang selama  ini kita amalkan hilang takkala steering berada di tangan.

Ramai yang tidak sedar atau buat buat tidak sedar bahawa mereka bukan sahaja membahayakan penumpang yang berada di dalam kenderaan mereka malah orang lain yang tidak bersalah turut menjadi mangsa akibat kelalaian mereka.

Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah menyatakan secara jelas bahawa bagi mereka yang memandu secara melulu atau merbahaya dan menyebabkan kematian penumpang dalam kenderaan sendiri atau orang lain di dalam  kemalangan WAJIB dihukum PENJARA TIDAK KURANG 2 tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM5000 dan tidak melebihi RM20,000 dan digantung lesen, jika disabitkan.

Secara jujur sebagai peguam agak sukar bagi pihak kami mengendalikan kes seperti ini kerana 90% bukti bagaimana kemalangan ini sudah ada di tempat kejadian terutama bagi menentukan point of impact atau tempat mula mula berlakunya kemalangan.  Sekaligus kita hampir mengetahui siapa penyebab kepada kemalangan tersebut.

Dalam bahasa kasar kita boleh mengagak nasib pemandu cuai yang bakal menghuni penjara kelak.

Bukti bukti seperti kesan brake yang panjang atas jalan raya secara teknikalnya jelas menunjukkan kereta tersebut dipandu laju, pecahan kaca yang banyak menunjukkan tempat mula mula berlaku kemalangan yang sekaligus akan membantu pegawai penyiasat polis melihat siapa penyebab dan punca kemalangan.

Pecahan kaca dilaluan siapa ini akan menentukan kenderaan mana yang memasuki laluan yang sah mangsa dan pengguna jalan raya yang lain dan merekalah yang menjadi punca kemalangan.

Kesan minyak kenderaan juga kesan darah pemandu terutama bagi melihat sama ada pemandu di dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah juga akan disiasat oleh pihak polis.

Sehebat manapun peguam jika anakguam MEMOTONG di dua garisan berkembar lalu melanggar kenderaan di hadapan yang berada di laluan mereka yang sah hampir mustahil peguam akan dapat membantu anakguam yang cuai di dalam perbicaraan kelak.

Memotong di tempat larangan inilah kelaziman menjadi punca utama kemalangan.

Kesan kemik dan kerosakkan kepada kenderaan turut membantu pegawai penyiasat  seperti contoh kesan kemik pada bahagian belakang menunjukkan kenderaan dilanggar dari belakang begitu juga sebaliknya.

Bagaimana pemandu boleh memotong di kawasan selekoh atau di laluan berbukit jika mereka sendiri tidak dapat melihat kenderaan yang datang dari arah hadapan.

Mengharapkan kenderaan yang dipotong bergerak ke tepi atau kenderaan yang dari arah hadapan mengelak kenderaan kita yang memotong adalah satu pandangan atau perasaan yang sangat tidak bertanggungjawab dan seperti membunuh diri sendiri.

Bagi mangsa pula, apa yang boleh dilakukan mereka jika kenderaan memasuki laluan mereka dan tambahan pula jika ada guard rail di kiri mereka. Bagaimana mereka mampu mengelak kemalangan tersebut daripada berlaku?
Akibatnya yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Bagi pemandu yang mengantuk, tidur dahulu dan jangan diteruskan perjalanan. Mereka akan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain.

Perlu diingat bahawa pemandu yang cuai ini bukan hanya akan dipersalahkan jika kematian berlaku di pihak lain atau di dalam kenderaan lain namun jika penumpang di dalam kenderaan sendiri meninggal akibat kemalangan yang pemandu sebagai punca, mereka tetap akan dipenjarakan jika disabitkan dengan kesalahan.

Saya pernah melihat bagaimana seorang suami yang telah 'membunuh' isteri sebagai penumpang akibat kemalangan telah dipenjarakan selama 2 tahun dan turut didenda oleh mahkamah. Terserlah kekesalan yang teramat kepada si suami tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.

Bayangkan kesangsaraan yang akan ditanggung anak anak akibat ibu yang meninggal dan bapa yang akan dipenjarakan. Tempoh 2 tahun ini bukanlah satu tempoh yang sekejab.

Oleh yang demikian, berhati hatilah kita semua seperti slogan yang kita semua ketahui iaitu pandu cermat jiwa selamat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails