Petikan FB Dr MAZA
Dalam hidup ini ada satu cita-cita yang kita tidak boleh berhenti mengejarnya. Satu cita-cita yang tidak akan luput dalam sanubari sekalipun diri telah dimakan usia. Satu cita-cita yang tidak akan hilang sekalipun segala kedudukan telah dicapai dan segala kehendak lain telah pun diperolehi. Ia adalah cita-cita menjadi hamba Allah yang soleh.
Nabi Yusuf a.s apabila beliau telah berada pada kemuncak pencapaiannya, beliau berkata:
رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَنْتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ
(maksudnya) Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan masukkan daku bersama orang-orang yang soleh".
Segala pencapaian, nama dan pangkat dalam dunia tiada ertinya jika kita tidak termasuk dalam kalangan hamba-hamba Allah yang soleh. Gelaran dan pujian manusia belum tentu menjadikan kita soleh di sisi Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui siapakah hamba-hambaNYA yang soleh.
Maka, marilah kita sentiasa berdoa seperti Nabi Yusuf agar kita dimasukkan bersama orang-orang yang soleh. Jadikanlah cita-cita itu dan usaha ke arah nya tidak pernah padam dalam diri kita.
No comments:
Post a Comment