Mutiara Kata

Monday, February 22, 2016

Mitos Melayu Malas 3M vs 3D (Sinar Harian 22.2.16)

Dr. Ridhuan Tee menulis:

Mampukah belia Melayu menceburi bidang kerja 3D (Dirty, Difficult dan Dangerous) seperti yang dilakukan oleh buruh asing, kaitan dengan cadangan untuk membawa masuk 1.5 juta Bangladesh? Jawapannya, sudah tentu mampu jika Melayu sedar diri dan mahu berubah.

Bacalah buku Pendeta Za'ba (2009), khusus untuk Melayu, perangai bergantung kepada diri sendiri. Mitos Pribumi Malas (Syed Hussein alatas, 1989). Jika nak sesuatu itu berubah, mesti datang dari diri sendiri terlebih dahulu. Yang lain, hanya boleh membantu. Jangan pergi jauh, sektor pembantu rumah, berapa ramai orang Melayu yang sanggup bekerja? Hampir tiada.

Mengenali hakikat kejadian manusia, tidak ada satu bangsapun yang Allah jadikan dengan serba kekurangan. Kita adalah sebaik-baik makhluk. Bacalah sejarah manusia dan sejarah Melayu. Setiap insan atau bangsa ada kelebihan tertentu, sama ada sedar atau tidak. Tidak timbul isu, hanya Cina sahaja rajin, Melayu tidak. Masa Melayu, selalu lambat, orang lain tidak. Kita memperlekehkan dan memandang rendah bangsa sendiri. Sedangkan proses kejadian manusia sangat hebat. Jika tidak, apa beza kita dengan haiwan? Jika sekadar belajar untuk belajar, bekerja untuk bekerja, binatang di hutan juga belajar dan bekerja. 

Masalahnya, bukan berkaitan dengan bangsa tetapi sikap. Mahu berubah atau tidak? Apa pula tanggungjawab pemimpin terhadap umatnya. Kenapa Melayu di luar negara boleh berjaya? Kenapa tidak dalam negara? Apa punca masalahnya?

Ya, tidak dinafikan segelintir Melayu hanya mahu kerja glamour. Yakinlah! Jika ada program realiti pastinya orang Melayu yang berbaris panjang, walaupun mungkin bakat seni tidak ada. Sebabnya, mereka mahu jadi glamour, popular dan kaya. Lihat sahaja bagaimana jutawan Melayu begitu bersungguh menaja program realiti hiburan TV. Siapa yang menjadikan Melayu sedemikian, kalau bukan kita?

Justeru, mari bersama kita cari ubat Melayu. Pertama, ubatilah hatinya agar sikapnya merubah. Hati yang bersih tanpa hasad dengki. Tidak saling jatuh-menjatuh, tikam-menikam. Bersangka baik sesama sendiri. Letih kadangkala membaca grup WhatsApp Melayu. Asyik menfitnah dan mengeji. Semua berpunca dari hati. Tanpa hati yang tulus ikhlas, Melayu akan tetap sebegini. Melayu perlu belajar erti hati ikhlas. Ikhlas dalam perjuangan, ikhlas menjadi pemimpin.

Konsep ikhsan mesti dikhatam dan dihadam. Bekerja seolah-olah Allah nampak kita walaupun kita tidak nampak Allah. Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Esok mesti baik daripada hari ini. Kata-kata siapakah itu?

Kedua, Melayu mesti menolong Melayu berasaskan Islam. Agama Islam sangat mulia dan terpuji. Praktikkanlah. Sediakan sekumpulan pakar untuk mengajar subjek agama Islam sebagai agama yang positif dan dinamik. Islam sangat menentang sikap bermalas-masalan. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jika boleh, masukkan kurikulum dan kursus kahwin, bukan hanya pendidikan seks semata.

Mereka yang berkebolehan, berbakat dan berilmu mesti diketengahkan. Jangan dipetiaiskan kerana takut memberi ancaman. Ada pemimpin politik (menteri) takut melantik orang yang lebih pandai daripadanya, takut-takut akan dicantas. Maka dilantiklah ahli yang lebih bodoh daripadanya agar mudah diperkudakan. Kerjanya asyik membodek dan kata 'yes'. Maka kekallah dia sebagai pemimpin sampai mati. Inilah yang berlaku di peringkat cawangan dan bahagian. Hati dan sikap Melayu sebegini perlu diubati.

Ketiga, sikap Melayu (Attitude). ATTITUDE jika disusun susun huruf A = 1 markah sehingga Z = 25, hasilnya 100%. 1(A)+20(T)+20(T)+I(9)+T(20)+U(21) +D(4)+E(5)=100. Susunlah perbuatan lain, tidak dapat 100 peratus. Inilah perkara lama yang telah dibincangkan saban hari. Bagaimana nak ubah sikap, juga berpunca dari hati.

Dalam Islam, apa jua sektor kerja yang diceburi, yang paling penting,  HALAL, baharulah berkat. Sanggupkah kita cuci longkang, potong rumput, bina bangunan di tengah panas terik matahari. Sanggup. Pokoknya, bayaran mesti setimpal. Kenapa kebanyakan orang suka berhijrah mencari pekerjaan di tempat lain? Bayarannya berbaloi. Jika Melayu diberikan gaji minima RM2000 dan insentif lain, pasti ada yang sanggup. Negara untung, duit tidak mengalir keluar. Gejala sosial boleh dikurang, kerana pekerja asing selalu dahagakan seks.

Keempat, terdapat begitu banyak institusi berkaitan Melayu dan Islam di negara ini dan dibiayai kerajaan kerana perlembagaan membenarkan, termasuk Majlis Profesor Negara. Buatlah kajian. Kerajaan dengarlah. Kenapa sampai sekarang masih membincangkan isu Melayu. Apa kita buat? Sudah berapa lama merdeka?

Lihat NGO-NGO Cina, segala jenis persatuan mereka ada. Persatuan bahasa (dialek), ikan, ayam, itik, sayur, buah, lori bas dan sebagainya. Bersatu dan dinamik. Sekali mereka gegar... kecut! Ramai yang tunduk.

Kita asyik bergaduh. Dalam semua sektor. Kalangan cendekiawan, agamawan, penjawat awam, orang pencen dan lain-lain tidak kurang politikingnya. Bila ada masa untuk membincangkan kekuatan Melayu. Melayu semakin melayu.

Kelima, teringat kata hikmah Ungku Aziz, (1) rajin bercakap-rajin bekerja=bagus, (2) rajin bekerja-malas bercakap=kena buli, (3) malas bekerja-rajin bercakap=wayang Cina, (4) malas bekerja-malas bercakap=tak guna, (5) malas bekerja-suka mengadu=nyanyuk, (6) malas bekerja-selalu ponteng=baik berhenti, (7) malas bekerja-suka menyibuk=baik mati. Kategori mana duduk Melayu? Jarang yang duduk pada 1. Rata-rata berada 2-7. Biar papa asal bergaya

Melayu tidak boleh berlengah lagi. Perlu ada perancangan strategik jangka panjang dengan memberikan keutamaan kepada isu yang mendesak. Lakarkan visi strategik untuk melayari masa depan. Melayu juga perlu gigih mencari kumpulan pemimpin yang lebih baik yang mampu mewakili mereka  dengan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan dan aspirasinya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails