Mutiara Kata

Saturday, December 26, 2015

Artikel Tun Terbaru: SERANGAN DI PARIS

1. Setiap orang, sudah semestinya setiap umat Islam, pasti mengutuk serangan pengecut oleh orang Islam di Paris yang mengakibatkan lebih daripada 100 orang yang tidak bersalah terbunuh. Ia bukanlah hanya satu insiden tetapi melibatkan beberapa siri serangan yang diselaraskan di beberapa tempat di Paris. Ini semestinya memberikan imej yang buruk terhadap Islam dan umat Islam. Secara praktiknya, ia mengiakan tuduhan bahawa Islam ini berkait dengan keganasan.

2. Jelaslah, sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan serangan seumpamanya. Kerajaan Perancis menyeru pembentukan satu gabungan negara-negara menentang ISIS dan keganasan amnya. Seluruh dunia seakan bersedia untuk bergabung menentang ISIS khususnya.

3. Kalau kita bersedia mempelajari sejarah, kita tidak akan gagal untuk memperhati bahawa tindakan keganasan seperti ini sudah bertambah demi tahun. Mereka semakin dahsyat dan kejam setiap masa.

4. Sesiapa yang mengambil berat akan dapati bahawa tindakan-tindakan keganasan ini kebanyakannya terbatas di negara-negara Arab di Timur Tengah. Mereka bermula dengan terciptanya negara Israel di tanah Palestin. Rakyat Arab Palestin dibunuh beramai-ramai dan disingkirkan daripada negara mereka oleh kumpulan-kumpulan pengganas Irgun dan Haganah dari Israel. Mereka kehilangan tanah, rumah dan kebun buah-buahan mereka. Mereka terpaksa tinggal di kem pelarian yang buruk di negara-negara lain di benua tersebut. Selama lebih 60 tahun mereka menderita dengan serba kekurangan golongan yang disingkir. Pada mulanya, sebilangan negara-negara Arab cuba untuk merampas semula Palestin menerusi peperangan-peperangan konvensional. Dari tahun 1948 hingga 1982, mereka menyerang Israel. Namun, setiap kalinya mereka tewas kerana Israel dibekalkan dengan senjata dan wang serta bala tentera oleh Amerika dan negara-negara Eropah.

5. Negara-negara Arab menerima hakikat bahwa mereka tidak akan memenangi peperangan menentang Israel. Jadi, mereka berhenti mencuba selepas tahun 1982.

6. Pada tahun 1987, Yasser Arafat menubuhkan kumpulan PLO Al Fatah dan memulakan gerakan intifada yang pertama. Pada mulanya, ia melibatkan kanak-kanak warga Palestin membaling batu ke arah kereta kebal milik Israel. Tentera Israel membalas dengan menembak kanak-kanak dengan peluru disaluti getah dan peluru hidup yang membunuh ramai kanak-kanak, memberkas dan memenjarakan kebanyakan daripada mereka. Jauh sekali daripada menghentikan tentera Israel, mereka sebenarnya meluaskan kawasan dengan membina penempatan di atas tanah rakyat Palestin. Pembinaan penempatan di atas tanah milik orang lain tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun, dunia tidak pernah mencemuh Israel.

7. Selepas itu, rakyat Palestin menubuhkan unit-unit gerila untuk menyerang Israel. Israel membalas dengan mengebom dan menjadikan bandar-bandar dan kampong-kampong orang Arab runtuhan batu. Ramai orang Arab ditahan dan dipenjarakan tanpa pembicaraan.

8. Apabila rakyat Palestin mencari pelindungan di Lebanon, Israel menyerbu Lebanon dan membunuh secara beramai-ramai ribuan pelarian di kem-kem Sabra and Shatila. Mereka memaksa penyingkiran PLO Dari Lebanon.

9. Rakyat Palestin beralih kepada pengeboman tekad mati. Tindakan ini menyebabkan kerosakan kecil tetapi tindakan mereka dianggap sebagai keganasan. Mereka juga melancarkan roket-roket kuno ke arah Israel yang tidak memberikan sebarang kesan yang ketara.

10. Israel membalas dengan mengebom, melancarkan roket ke arah Gaza, Jenin dan bandar-bandar lain hingga menyebabkan ribuan mati, ratusan ribuan cedera.

11. Membina semula rumah-rumah yang telah musnah dihalang oleh Israel dengan sekatan bahan-bahan pembinaan. Sekatan itu menghalang bekalan makanan dan ubatan sampai ke Gaza dan bandar-bandar serta kampong-kampong lain yang termusnah. Mangsa-mangsa yang terselamat terpaksa berteduh di bangunan-bangunan dan khemah-khemah yang ranap, mendedahkan mereka kepada kesejukan di musim sejuk. Sehingga kini, mereka tidak berupaya untuk membina semula rumah mereka.

12. Rakyat Gaza membina roket-roket kuno dan melancarkannya ke arah Israel, seperti biasa dengan kesan kerosakan yang kecil. Israel melancarkan roket dan membedil Gaza menaklukinya dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan-bangunan termasuk sekolah-sekolah dan hospital-hospital.

13. Selepas itu, Iraq diserang kuasa Amerika dan British dan Saddam Hussein telah digulingkan dan digantung. Tanpa sebuah kerajaan yang kuat, Sunni dan Shiah mula bergaduh sesama sendiri, melakukan keganasan sesama sendiri. Di bawah pemerintahan Saddam, mereka hidup dengan aman.

14. Kemudian, Barat menggesa orang Arab menggulingkan kerajaan autokratik banyak daripada negeri-negeri Arab. Hasilnya, ialah keadaan yang huru-hara, anarki dan perang-perang saudara.

15. Berlakunya pemberontakan di Syria. Perang saudara itu memusnahkan seluruh negara itu. Empat juta rakyat Syria lari meninggalkan negara itu. Mereka amat terseksa. Perkara yang sama berlaku di Yemen.

16. Seluruh dunia Arab berada dalam keadaan kacau-bilau kerana Arab menentang Arab. Kumpulan-kumpulan pemberontak Syria dilatih, dibekalkan senjata dan ditaja oleh kuasa luar untuk menentang Kerajaan Bashar Assad. Kerajaan tersebut melawan balik.

17. Sebilangan pemberontak tersebut memutuskan untuk menggunakan senjata-senjata yang dibekalkan oleh Amerika untuk menjuangkan penubuhan sebuah Islamic State. Agar mendapat perhatian dan ditakuti, mereka terjerumus dalam keganasan yang luar biasa. Mereka menyelar leher tebusan yang tidak bersalah menggunakan pisau pendek dan menembak mati ramai tebusan yang tidak bersalah termasuk remaja lelaki. Mereka membakar hidup-hidup beberapa tebusan mereka. Dan sekarang mereka telah meluaskan aktiviti-aktiviti mereka ke Eropah, menembak orang-orang yang tidak bersalah.

18. Sementera sokongan kepada operasi-operasi ketenteraan menentang golongan ini adalah logik dan berkemungkinan agak efektif; tindakan keganasan dan pembunuhan orang-orang yang tidak bersalah tidak akan berakhir. Kematian pemimpin-pemimpin atau pembunuh-pembunuh akan digantikan dengan orang baru yang mungkin lebih kejam.

19. Satu-satunya cara untuk menghentikan keganasan ini adalah berdepan dengan punca-punca masalah. Antaranya ialah sokongan tidak terhingga untuk Israel oleh pihak Amerika dan British. Ini perlu dihentikan.

20. Penubuhan negara Israel adalah fakta yang sudah terjadi (fait aaccompli) yang orang-orang Arab harus terima. Mereka meletakkan kepercayaan kepada Perjanjian Stockholm tetapi penindasan Israel diteruskan. Mereka membunuh Yitzhak Rabin untuk memastikan keamanan tidak akan wujud.

21. Membunuh kanak-kanak yang membaling batu, memberkas mereka dan memenjarakan mereka bertahun-tahun tanpa perbicaraan adalah bertelaluan dan zalim.

22. Membina penempatan di atas tanah rakyat Palestin dan mengecualikan rakyat Palestin daripada tanah milik mereka, membina jalan-jalan di atas tanah milik Palestin di mana rakyat Palestin dihalang untuk menggunakannya, membina sekatan jalan raya, menghalang perjalanan di dalam Palestin oleh rakyat Palestin, melengahkan wanita-wanita mengandung pergi ke hospital sehingga mereka melahirkan anak di sekatan jalan raya, membina dinding-dinding untuk memisahkan perkampungan, membunuh ribuan pelarian Palestin di kem-kem pelarian, memecah masuk ke hospital-hospital untuk menarik keluar rakyat Palestin yang sakit untuk dibunuh, menyekat tanpa sah bekalan makanan, ubatan dan bahan-bahan pembinaan daripada sampai ke Palestin, menangkap ribuan rakyat Palestin dan menahan mereka bertahun-tahun tanpa perbicaraan, menggunakan mereka sebagai tebusan untuk pertukaran bagi rakyat Israel yang ditangkap, memusnahkan bandar-bandar, kampung-kampung dan Semenanjung Gaza dengan roket, bom, senjata berat, kereta kebal dan traktor, selalunya ketika orang masih berada di dalamnya dan banyak lagi, masih dilakukan oleh Israel.

23. Semua ini salah, bercanggah dengan undang-undang semua negara serta undang-undang dan tuntutan antarabangsa, bercanggah dengan norma-norma perilaku manusia, tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral. Tetapi, orang-orang Eropah yang menegaskan mereka mempercayai kedaulatan undang-undang, mempercayai hak-hak manusia, keadilan dan saksama, tidak mengutuk Israel, dan sudah pastinya tidak pernah cuba untuk menghalangkan mereka. Mereka seolah-olah menyokong segala kesalahan yang dilakukan Israel.

24. Dunia tidak peduli dengan segala kesengsaraan dan penghinaan rakyat Palestin. Ianya seperti rakyat Palestin bukanlah bangsa manusia.

25. Kesengsaraan rakyat Palestin, ketidakadilan terhadap mereka, penghinaannya juga dirasai oleh orang-orang Arab yang lain, juga umat Islam yang lain. Marah dan hampa, terhina, tidak berupaya untuk membalas secara konvensional, dihina atas kepercayaan mereka dan keyakinan mereka terhadap Islam, orang-orang Arab dan Islam yang lain terpaksa bertindak balas, untuk membalas balik sebanyak mana kekejaman yang telah dilakukan terhadap mereka.

26. Dan dengan itu, tindakan-tindakan kekejaman kononnya semakin bertambah. Semakin mereka gagal, semakin hebat kekejaman yang mereka lakukan. Dengan sebab ketiadaan negara-negara Islam yang sedia untuk bertindak, mereka bertindak menubuhkan negara mereka sendiri. Tidak berupaya untuk melancarkan peperangan biasa, mereka bertindak seperti yang digambarkan sebagai tindakan keganasan.

27. Dan tindakan-tindakan keganasan akan diteruskan dan semakin memuncak sehingga adanya usaha-usaha jitu untuk membenteras kesengsaraan, penghinaan dan ketidakadilan yang dialami oleh rakyat Palestin, orang-orang Arab dan Islam oleh Israel, disokong oleh orang-orang Eropah dan Amerika.

28. Saya tidak ada simpati kepada IS dan amat benci jenis keganasan yang mereka ceburi. Apa yang mereka lakukan adalah bertentangan terus dengan ajaran Islam dan perilaku manusia yang diterima.

29. Keganasan adalah punca penderitaan kehidupan rakyat biasa. Mereka tidak tahu bila masanya mereka akan jadi mangsa. Kita mengalu-alukan idea memberhentikan tindakan keganasan. Tetapi tindakan ketenteraan sahaja tidak akan menewaskan pengganas-pengganas. Hanya penghapusan punca-punca berlakunya keganasan dapat membuat demikian.

30. Punca-puncanya semua diketahui dan di senaraikan di atas. Keras kepala Israel mesti dihentikan dan penempatan dan perampasan tanah Palestin mesti dipulangkan. Apabila perkara-perkara ini selesai dilakukan maka baru sahajalah kekecewaan dan kemarahan di kalangan umat Islam akan berkekurangan dan berkuranglah tindakan keganasan. Kegagalan untuk mengakui punca sebab hanya akan membawa kepada penurusan dan peningkatan tindakan keganasan.

Sumber: http://chedet.cc/?p=1945

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails