Mutiara Kata

Sunday, March 23, 2014

Ekspedisi Gunung Kinabalu

Perancangan yang bermula pada Jun 2013 akhirnya telah terlaksana dengan jayanya pada 18-20 Mac 2014. Pada asalnya penyertaan seramai 16 orang, namun begitu disebabkan faktor kepentingan tugas, hanya 13 peserta sahaja yang dapat menyertai pada kali ini.

Program bermula seawal jam 6 pagi, 18 Mac semua peserta dibawa dari penginapan di Kota Kinabalu ke Kinabalu Park, Kundasang. Sampai sahaja di sana semua peserta diperkenalkan dengan  chief mountain guide, En. Kamaludin. Setelah selesai taklimat ringkas, semua peserta dilepaskan dari Timpohon Gate jam 9.50 pagi.

Kumpulan terawal telah sampai di Laban Rata jam 2.15 petang manakala yang terakhir jam 5.55 petang.

Pada hari pertama semua peserta ditempatkan di Gunting Lagadan Hut yang terletak sejauh 500 meter di atas Laban Rata. Walaupun jarak boleh dikatakan tidak terlalu jauh, disebabkan faktor aras ketinggian dan suhu yang rendah menjadikan jarak itu agak mencabar sekali.

Jam 8 malam semua peserta telah mula tidur sebagai persediaan pada awal pagi. Jam 1 pagi semua peserta telah bangun dan mula membuat persiapan. Jam 2 pagi sarapan bermula di Laban Rata. Setelah sarapan, taklimat ringkas sekali lagi disampaikan oleh En. Kamaludin berkaitan keselamatan pendakian. Selepas itu perjalanan bermula, namun salah seorang peserta mengalami demam secara tiba-tiba. Oleh itu hanya 12 peserta sahaja yang akan meneruskan cabaran ini.

Seawal jam 5 pagi kumpulan kami yang tinggal 12 orang telah sampai di Check Point Sayat-Sayat iaitu tempat di mana Park Warden dan Mountain Guide menunggu membuat pengesahan terhadap peserta yang berjaya sampai. Seterusnya semua peserta meneruskan pendakian ke Puncak Kinabalu yang terletak sejauh 1.9 km. Jam 6 pagi kesemua peserta telah berjaya sampai di Km8. Namun begitu hanya 9 peserta sahaja yang berjaya ke puncak pada ketinggian 4095.2 meter.

Jam 9 pagi semua peserta mula bergerak turun dari puncak untuk balik semula ke Laban Rata. Jam 12 tengahari kesemua 12 peserta sampai dan menukar bilik penginapan di Laban Rata.

Pada sebelah petang semua peserta yang kepenatan tidur bagi memulihkan semula tenaga.

Pada 20 Mac kira-kira jam 8.25 pagi semua 13 peserta mula bergerak turun dari Laban Rata ke Timpohon Gate. Peserta terawal sampai kira-kira jam 10.15 pagi manakala yang terakhir jam 11.45 pagi.

Semua peserta amat berpuashati dengan ekspedisi pada kali ini. Pada tahun hadapan ekspedisi kali kedua dirancang akan dijalankan dalam bulan April. Semoga semua panjang umur, Insya Allah misi akan datang akan beroleh kejayaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails