Bermula penghujung tahun lepas sehingga kini, berbagai isu panas berlegar di kotak fikiran kita, tak kira maklumat tersebut disiarkan melalui tv, radio, akhbar ataupun menerusi internet. Jadi tidak perlu lagi nak peningkan kepala memikirkan isu-isu tersebut dan tidak perlu juga dinyatakan secara terperinci akan hal-hal yang berkaitan.
Perkara yang menarik bermain di fikiran kini ialah berkaitan antara dua darjat, orang kaya dan orang miskin. Kalau dirujuk kepada kamus, huraian tentang maksud tentunya berbagai-bagai yang diterjemahkan secara ilmiah. Tetapi rasanya, kalau kita fikir-fikir dan renung-renungkan, cuba kita lihat kepada penggunaan Kad Kredit, terbayangkah difikiran kita, kebanyakan pengguna kad kredit atau kad hutang ini adalah tergolong dalam kumpulan orang yang miskin. Kenapa?
Bagi mereka yang memiliki kad hutang ini, tentu ada yang berbangga kerana dikatakan berstatus dari kalangan orang-orang yang ber'WANG'. Betulkah begitu? Mungkin tidak... Penggunaan kad kredit dari sudut positifnya akan memudahkan individu untuk berbelanja tanpa membawa banyak wang tunai, dan diantara lain-lain kemudahan atau previlage ialah ketika ingin membayar wang pendahuluan sekiranya ingin menginap di hotel kerana tidak perlu mengeluarkan wang tunai sebagai deposit. Cuba bayangkan, jika kadar bayaran sebuah bilik hotel berharga RM160.00, kita terpaksa mengeluarkan deposit sebanyak RM250.00 untuk satu malam, tentu sekali banyak wang tunai yang kita perlu bawa bersama.
Jika difikirkan dari sudut lain, penggunaan kad kredit ini mudah menyebabkan pengguna yang tidak berhati-hati terperangkap dengan masalah hutang yang serius tanpa mereka sedari. Memang seronok jika kita boleh membeli apa sahaja yang kita impikan, hanya dengan leretkan kad sahaja. Akan tetapi malapetaka yang akan timbul dibelakang hari adalah masalah hutang dengan kad kredit, tentu sekali dengan bayaran perkhidmatan dan kadar faedahnya sekali jika kita gagal menjelaskan bayaran dari pernggunaan kad tersebut dalam tempoh tertentu.
Ramai dikalangan kita yang baru memiliki kad kredit mungkin merasakan status mereka lebih baik dan berbangga setiap kali berbelanja dengan menggunakan kad kredit atau merasa senorok bila kad hutang ini dipamerkan semasa pembayaran dibuat. Tetapi, bagi mereka yang dah terperangkap dengan masalah hutang kad kredit, tentunya timbul rasa ngeri setiap kali terlihat kad kredit.
Bagi saya, cara terbaik untuk berbelaja adalah dengan menggunakan wang tunai kerana kita hanya akan membuat pembelian berdasarkan kemampuan kita. Jika wang yang dibawa tidak mencukupi, belilah barangan atau perkhidmatan yang diperlukan sahaja yang mana akan sekaligus menjauhkan kita dari terjebak dengan msalah hutang.
Mengambil kata-kata seorang sahabat yang merupakan seorang pengurus bank yang telah bersara, katanya orang kaya adalah orang yang mampu memiliki atau membeli apa yang dihajati berdasarkan jumlah wang yang ada padanya, namun orang miskin adalah orang yang membeli atau mendapatkan perkhidmatan dengan cara berhutang, contohnya pemilik kad kredit. Betul ke? Saya beli kereta pun berhutang, jadi saya masih orang miskin. Fikir-fikirkanlah...
No comments:
Post a Comment